Selasa, 22 Mac 2011

Sejarah Malaysia

Terdapat bukti petempatan manusia di Malaysia sejak lebih kurang 40,000 tahun lalu. Manusia pertama sekali yang menduduki Semenanjung Melayu mungkin ialah kaum Negrito. Semenanjung Melayu dikenali sebagai "Semenanjung Emas" oleh tamadun India purba (Suvarnadvipa) dan juga peta dunia Ptolemy (Chersonesus Aurea atau Semenanjung Kencana). Semenanjung Melayu menyambut pedagang dan penghuni dari India dan China seawal-awal abad pertama Masihi, di mana mereka membuka pelabuhan dan bandar di kawasan itu pada abad ke-2 dan ke-3 M. India dan China membawa pengaruh besar kepada kebudayaan setempat. Pada awal alaf pertama, para penduduk Semenanjung Melayu menganut agama Hindu dan Buddha dari India serta meminjam sistem tulisan Sanskrit. Dari abad ke-7 hingga ke-13, kebanyakan kawasan Semenanjung Melayu ditakluki oleh empayar Srivijaya yang beribu kota di Palembang di pulau Sumatera. Setelah kejatuhan Srivijaya, giliran empayar Majapahit yang berpangkalan di Jawa pula yang mempengaruhi kawasan-kawasan Indonesia, Semenanjung Malaysia, dan pesisiran Pulau Borneo. Pada awal abad ke-15, Parameswara, seorang putera dari bekas kerajaan Srivijaya, mengasaskan sebuah negeri baru yang dikenali sebagai Melaka. Kemudian, Parameswara memeluk agama Islam, maka orang Melayu beramai-ramai pun memeluk agama Islam pada abad ke-15. Pada zaman ini, Melaka menjadi sebuah pusat perdagangan tersohor yang menarik ramai pedagang dan saudagar dari seluruh rantau.

Zaman penjajahan Eropah bermula pada tahun 1511, apabila Melaka ditakluki oleh Portugal untuk dijadikan tanah jajahan, disusuli pula oleh pengambilalihan Belanda di Melaka pada tahun 1641. Empayar British menjejak kaki di Semenanjung Melayu pada tahun 1786, dengan memajakkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia Timur British dari negeri Kedah, kemudian menduduki Singapura tidak lama kemudian.Pada tahun 1824, British menguasai Melaka ekoran Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang memecahkan kepulauan Melayu kepada kawasan taklukan British dan Belanda, yang mana Malaya terletak dalam kawasan British. Pada tahun 1826, British menguasai Pulau Pinang, Melaka, Singapura dan Labuan untuk dijadikan wilayah jajahan mahktoa Negeri-Negeri Selat. Pada awal abad ke-20, negeri-negeri Pahang, Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan yang membentuk Negeri Melayu Bersekutu, ditugaskan Residen British sebagai penasihat raja-raja Melayu yang terpaksa mengikut kata-kata mereka hasil perjanjian terdahulu. Lima negeri semenanjung yang lain, iaitu Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, biarpun tidak diperintah secara langsung dari London, namun turut menerima penasihat British pada awal abad ke-20. Sabah ditadbir sebagai jajahan makhota Borneo Utara Inggeris, manakala Sarawak diserahkan oleh Kesultanan Brunei kepada James Brooke yang memerintah sebagai Raja Putih dalam sebuah Kesultanan yang merdeka sehingga diserahkan kepada pemerintahan langsung British pada tahun 1946.

Pada Perang Dunia Kedua, tentera Jepun menyerang lalu menduduki Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura selama tiga tahun lebih. Sewaktu ini, hubungan antara etnik makin tegang dan semangat nasionalisme makin mekar. Setelah wilayah Malaysia ditakluki semula oleh Pihak Berikat, masyarakat tempatan semakin menyambut baik perjuangan demi kemerdekaan. Rancangan pascaperang British untuk menyatukan pentadbiran Tanah Melayu menjadi jajahan tunggal iaitu Malayan Union ditentang hebat oleh orang Melayu yang membantah perbuatan melemahkan kuasa raja-raja Melayu serta pemberian kewarganegaraan kepada kaum Cina. Pada tahun 1946, Malayan Union terbentuk daripada semua taklukan British di Tanah Melayu kecuali Singapura, kemudian dibubarkan pada tahun 1948 untuk memberi laluan kepada Persekutuan Tanah Melayu yang memulihkan autonomi raja-raja Melayu di bawah naungan British. Pada masa yang sama, pejuang pemberontak pimpinan Parti Komunis Malaya melancarkan kegiatan gerila untuk mengusir British dari Malaya, sehingga mencetuskan darurat dari tahun 1948 hingga 1960, yang melibatkan kempen anti-pemberontak berpanjangan oleh tentera Komanwel di Tanah Melayu.

Walaupun masih di tengah zaman Darurat, Tanah Melayu tetap diisytiharkan sebagai negara merdeka pada 31 Ogos 1957, diikuti penyerahan kalah oleh gerila Komunis tiga tahun berikutnya. Pada tahun 1963, Tanah Melayu bersama jajahan British di Sabah, Sarawak dan Singapura, bergabung untuk membentuk Malaysia. Tarikh yang dicadangkan untuk pembentukan Malaysia adalah 31 Ogos 1963, sempena sambutan kemerdekaan Tanah Melayu dan penerimaan pemerintahan sendiri kepada Sarawak oleh Sabah oleh British. Akan tetapi, upacara pengisytiharan persekutuan Malaysia ditunda hingga 16 September 1963 kesan tentangan kerajaan Indonesia pimpinan Sukarno serta cubaan Parti Rakyat Bersatu Sarawak untuk menangguhkan pembentukan Malaysia.

Zaman kemerdekaan awal menyaksikan kemuncak "Konfrontasi" dengan Indonesia kerana pembentukan Malaysia, pengunduran diri Singapura pada tahun 1965, dan rusuhan antara kaum pada tahun 1969.Selepas peristiwa 13 Mei itu, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak, dengan tujuan meningkatkan penguasaan ekonomi negara oleh bumiputra ("orang peribumi", termasuk orang Melayu dan sewajarnya orang asli dan pribumi lain) berbanding kaum-kaum lain. Oleh itu, Malaysia terpaksa menanggung imbangan politik etnik yang rumit, dengan sistem kerajaan yang cuba menggabungkan pembangunan ekonomi keseluruhan dengan dasar politik dan ekonomi yang memupuk penyertaan sama-rata semua kaum.

Ketika negara dipimpin oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi sepanjang 1980-an dan 1990-an, meskipun disampuk oleh kemelesetan pasaran harta pada tahun 1985-86,. Ketika ini, Malaysia beralih dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan perindustrian yang termasuk komputer dan barangan elektronik pengguna. Pada masa yang sama, wajah bumi Malaysia berubah kerana bangkitnya berbilang-bilang projek mega, antaranya Menara Berkembar Petronas (yang mencapai taraf bangunan komersil tertinggi di dunia sebaik sahaja siap dibina), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Projek Lebuhraya Utara Selatan, Litar Antarabangsa Sepang, Koridor Raya Multimedia, empangan hidroelektrik Bakun dan pusat pentadbiran persekutuan baru, iaitu Putrajaya. Pada akhir 1990-an, Malaysia digegarkan oleh krisis kewangan Asia dan kemelut politik ekoran pelucutan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pada November 2007, Malaysia digemparkan lagi oleh dua acara tunjuk perasaan anti-kerajaan yang mendakwa anasir rasuah dan perselisihan dalam sistem ekonomi Malaysia yang memberati parti pemerintah, Barisan Nasional yang menguasai Malaysia sejak merdeka pada tahun 1957.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan