Selasa, 22 Mac 2011

Politik Malaysia

Malaysia ialah sebuah negara beraja elektif berperlembagaan persekutuan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong, ketua negara persekutuan. Yang di-Pertuan Agong dipilih dari kalangan sembilan Raja Melayu untuk sepenggal lima tahun; tanpa penyertaan empat negeri lain (Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah) yang hanya dipimpin oleh Yang di-Pertua Negeri. Sistem kerajaan di Malaysia banyak berasaskan sistem parlimen Westminster yang diwarisi daripada zaman penjajahan British.

Kuasa perundangan diagihkan kepada badan perundangan persekutuan dan negeri. Parlimen Malaysia yang dwidewan terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Rakyat dianggotai oleh 222 Wakil Rakyat, iaitu ahli-ahli yang dipilih oleh kawasan pengundian masing-masing untuk penggal maksimum lima tahun. Kesemua 70 Senator (ahli Dewan Negara) dilantik untuk penggal tiga tahun; 26 daripadanya dipilih oleh 13 Dewan Undangan Negeri, manakala 44 yang selebihnya dilantik oleh raja atas syor Perdana Menteri. Parlimen Malaysia mengikuti sistem pelbagai parti dan ahli-ahlinya dipilih menerusi sistem pemenang undi terbanyak. Semenjak mencapai kemerdekaannya, Malaysia ditadbir oleh parti campuran Barisan Nasional (dahulunya Parti Perikatan).

Selain Parlimen persekutuan, setiap negeri mempunyai sebuah Dewan Undangan Negeri ekadewan (DUN) yang terdiri daripada ahli-ahlinya yang dipilih dalam pilihan raya peringkat negeri. Kerajaan negeri diketuai oleh Menteri Besar untuk negeri-negeri Melayu atau Ketua Menteri di negeri-negeri tanpa raja, yang merupakan ahli dewan undangan negeri dari parti majoriti di Dewan Undangan Negeri. Di setiap negeri beraja, Menteri Besar diwajibkan berketurunan Melayu dan dilantik oleh sultan atau raja atas nasihat Perdana Menteri. Pilihan raya parlimen diadakan lebih kurang sekali dalam empat atau lima tahun. Pilihan raya umum terkini diadakan pada Mac 2008. Pengundi berdaftar yang berusia 21 tahun ke atas boleh mengundi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang disukai.

Kuasa eksekutif terletak di tangan jemaah menteri pimpinan perdana menteri. Perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa perdana menteri mestilah seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat majoriti di parlimen dalam pandangan Yang di-Pertuan Agong.

Cabang kehakiman Malaysia bebas daripada pengaruh eksekutif dan perundangan. Badan kehakiman tertinggi ialah Mahkamah Persekutuan yang dibawahi oleh dua mahkamah tinggi, iaitu satu untuk Semenanjung dan satu lagi untuk Malaysia Timur. Sistem undang-undang Malaysia berasaskan undang-undang am Inggeris.

Sistem mahkamah syariah berasingan dari mahkamah awam untuk menerima kes-kes yang melibatkan umat Islam di Malaysia. Sistem mahkamah syariah sama paras dengan sistem mahkamah biasa dan menjalani pembaharuan yang menyaksikan pelantikan hakim-hakim dalam kalangan wanita. Di Malaysia wujudnya perbahasan sama ada negara ini wajar mengamalkan kerajaan berdasarkan sekular atau Islam, memandangkan ada negeri yang meluluskan undang-undang Islam tetapi tidak berkuatkuasa kerana ditentang oleh kerajaan persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan